Thursday, March 7, 2013

Op Daulat: 52 pengganas maut, operasi diteruskan


Najib Tun Razak ketika bertemu dengan pasukan keselamatan negara di Komtek Sahabat 16 Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang siap sedia berjuang dalam Operasi Daulat hari ini
 
KUALA LUMPUR – Malaysia mewujudkan benteng pertahanan di sepanjang perairan pantai timur Sabah bermula dari Kudat di bahagian Utara hingga ke Tawau di bahagian Tenggara bagi menyekat sebarang elemen pencerobohan terutama dari wilayah kepulauan di selatan Filipina.
Perisytiharan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dibuat berikutan kejadian pencerobohan kumpulan militan dari Sulu di Lahad Datu 12 Februari lepas dan sehingga kini insiden itu masih berlanjutan.
“Kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan Sabah… soal Sabah dalam Malaysia tidak harus dipertikai oleh sesiapa,” kata Najib selepas melawat kawasan ‘ground zero’ di Felda Sahabat 16, Lahad Datu Sabah.
Kawasan Keselamatan Khas Sabah itu merangkumi Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, dan kerajaan akan menempatkan lima batalion tambahan terdiri daripada pasukan tentera dan polis di kawasan itu.
Pada 1972, kerajaan pernah menubuhkan Rajang Area Security Command (Rascom) iaitu pasukan kawalan keselamatan di kawasan Rajang di Sarawak yang berjaya menghapus ancaman komunis di negeri itu.
Kawalan Rascom meliputi kawasan Sibu, Kanowit, Oya, Dalat, Bintagor, Sarikei, Julau, Song dan Kapit yang diisytiharkan sebagai Kawasan Keselamatan Istimewa oleh Datuk Abdul Razak Hussein selaku perdana menteri ketika itu.
Pencerobohan pengganas
Pada Selasa pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari dan pasukan keselamatan kini meneruskan operasi dengan tindakan susulan dan penggeledahan.
Selepas tiga hari gerakan ofensif dilancar, pasukan keselamatan negara masih mendapat tentangan daripada kumpulan pengganas militan itu dan hari ini berlaku dua kejadian berbalas tembak iaitu di Kampung Tanduo yang merupakan kawasan kumpulan itu bertapak dan di Tanjung Batu.
Seramai 32 musuh terbunuh dalam pertempuran hari ini iaitu 31 dalam kejadian pada 11 pagi di Tanjung Batu dan seorang dalam kejadian 6.45 pagi di Kampung Tanduo.
Tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kedua-dua kejadian itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
51 pengganas terbunuh
Sejak isu pencerobohan sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata di Lahad Datu 12 Februari lepas, lapan anggota polis terkorban manakala 52 pengganas militan terbunuh.
Menegaskan pendirian Malaysia, perdana menteri berkata, operasi bagi memburu kumpulan penceroboh militan itu akan diteruskan dan Kuala Lumpur tidak akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat.
Beliau berkata Malaysia menghormati prinsip kemanusiaan dan memberi cukup masa untuk berunding dengan kumpulan penceroboh militan sebelum melancarkan gerakan ofensif.
“Kita beri tempoh lebih tiga minggu (untuk rundingan) dan tangguh (serangan) empat kali, kita hanya bertindak bila mereka bunuh lapan anggota polis kita,” kata Najib yang melahirkan rasa puas hati dengan keberhasilan operasi bersama pasukan polis dan tentera itu.
Laporan media dari Filipina hari ini memetik Jamalul Kiram III meminta pihaknya meletak senjata di Lahad Datu selepas beberapa anggota kumpulannya terbunuh dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan Malaysia pada Selasa.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon pula menyeru agar ‘keganasan’ di Sabah, dihentikan dan mencadangkan agar pihak terlibat mencari penyelesaian secara aman terhadap apa yang berlaku. – Bernama

Kesultanan Sulu sudah tiada, tuntutan Sabah terbatal



KOTA KINABALU – Penyertaan Sabah dalam gagasan atau pembentukan Malaysia pada 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas negeri ini yang dahulunya dikenali sebagai North Borneo, kata Prof Madya Dr Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pensyarah Sekolah Sains Sosial (Program Sejarah) itu berkata berdasarkan perkara itu sebarang tuntutan hak ke atas negeri Sabah ketika ini adalah terbatal.
“Tarikh penubuhan Malaysia pada tahun 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas Sabah dan pada tahun 1888, Sabah di bawah naungan kolonial British dan pada tahun 1903 protokol telah menetapkan jajahan Amerika Syarikat di Filipina tanpa Sabah.
“Pada tahun 1946, Sabah diserah kepada British dan jelas pada tahun 1963 Sabah berada dalam Malaysia,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Justeru Dr Bilcher berkata, tindakan Jamarul Kiram III menyerang Sabah dengan alasan menuntut hak warisan Kesultanan Sulu adalah satu jenayah yang boleh disifatkan sebagai serangan pengganas.
Mengenai bayaran yang dibuat oleh kerajaan Malaysia terhadap waris Kesultanan Sulu, beliau berkata ia cuma pampasan atau saguhati perjanjian “sewa mati 1787″ yang tertulis pajakan kekal.
“Maka pampasan itu dibayar sampai mati (istilah dalam perjanjian ‘selagi ada bulan dan bintang’),” katanya
Mengupas kembali sejarah Sabah, Dr Bilcher berkata penduduk Sabah telah memilih Malaysia (pada tahun 1963) seperti yang terkandung dalam Laporan Cobbold.
“Cuma Sultan Sulu fikir orang Sabah adalah rakyatnya. Rakyat adalah pengakuan taat setia pengikut. Tapi orang Sabah tidak mengakui mereka ada sultan melainkan Gabenor (kini Yang Dipertua Negeri Sabah).
“Justeru itu, tuntutan yang mendakwa dirinya sebagai pewaris Kesultanan ulu, jika ada sultan pun, ke atas Sabah adalah terbatal melalui beberapa peringkat perjanjian sebelum ini.
“Hakikatnya, Sulu tidak ada sebuah kerajaan atau negara yang membolehkan “ada hak” untuk membuat tuntutan. Tuntutan ini cuma tuntutan individu semata-mata, yang tidak melibatkan orang ramai, tetapi individu itu telah
memperalatkan orang ramai untuk mencapai kepentingan dirinya sendiri,” katanya.
Oleh itu, Dr Bilcher berkata tindakan menyerang negara luar adalah jenayah dalaman negara Filipina dan jenayah antarabangsa di Malaysia.
“Melainkan jika individu itu memiliki kerakyatan Malaysia, maka ini adalah jenayah yang berat, setara ancaman Komunis dahulu atau pengganas,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, semasa menjelaskan isu sama, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata bayaran AS$5,000 (RM15,500) setahun oleh kerajaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu sehingga hari ini bukanlah wang sewaan atau pajakan tetapi merupakan satu bentuk wang penghargaan yang dikenali sebagai “cession”.
Katanya beliau sendiri pernah melihat cek dengan jumlah tersebut dibayar kepada waris Kesultanan Sulu ketika menjadi Menteri Luar dari 1999 hingga 2008.
“Wang penghargaan atau cession berkenaan sama seperti duit penghargaan yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang kepada Sultan Kedah apabila pulau itu diserahkan kepada British,” jelas beliau kepada Bernama.
Menegaskan Kesultanan Sulu yang ada hari ini bukan kerajaan yang diiktiraf, Syed Hamid berkata, waris keluarga itu tidak layak membawa tuntutan Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarangsa (ICJ).
“Ini kerana ICJ hanya menguruskan kes-kes yang melibatkan kerajaan yang sah. Kesultanan Sulu bukan satu kerajaan,” katanya.
Syed Hamid berkata, kuasa pentadbiran dan politik yang ada pada Kesultanan Sulu dianggap berakhir apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada tahun 1915 dengan penjajah Filipina ketika itu iaitu Amerika.
Syed Hamid berkata cubaan menuntut Sabah pernah dibuat oleh Filipina ketika Malaysia dan Indonesia membawa masalah tuntutan pulau Sipadan dan Ligitan ke ICJ
pada tahun 2001.
“Filipina cuba untuk turut serta dalam tuntutan itu. Bagaimanapun ICJ terus menolak campur tangan Filipina dalam tuntutan Sipadan dan Ligitan yang terletak dalam perairan Sabah dengan alasan tuntutan itu tidak ada asas. Ini
jelas menunjukkan, Filipina sama sekali tidak mempunyai hak ke atas negeri di bawah bayu itu,” katanya.
Syed Hamid menegaskan Sabah merupakan wilayah Malaysia yang berdaulat kerana Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan sebelum pembentukan Malaysia melaporkan
bahawa rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka di dalam Malaysia.
Sementara itu, pakar sejarah Prof Dr Ramlah Adam menyatakan keyakinannya bahawa pihak kerajaan mempunyai dokumen perjanjian wang penghargaan tersebut.
“Kerajaan Malaysia memang menyimpan dokumen itu sebab selepas kita (kerajaan) ambil alih dari British kita ambil alih juga segala perjanjian itu sebab soal ‘cession money’ itu sangat penting,” katanya.
Tambahnya, perjanjian itu menyatakan wang penghargaan akan diserahkan kepada waris bukannya kesultanan Sulu selagi ‘ada bulan dan bintang’.
“Perjanjiannya adalah selagi ada bulan dan bintang, bukan ada tarikh, itu cara orang dulu buat perjanjian, saya tidak tengok perjanjian itu tetapi saya
tahu ada perjanjian.
“Ia (wang penghargaan) diberi kepada waris bukan kesultanan. Kesultanan Sulu telah tiada. Itu yang diperkatakan dalam sejarah Sulu. Semasa kita membuat sejarah Malaysia kita tidak pernah menyentuh tentang kerajaan Sulu ia termasuk dalam sejarah Filipina.
“Kita (Malaysia) tidak termasuk, kita hanya anggap ia sebagai kaum Suluk sahaja,” katanya.